Ahad, 19 Jun 2011

JARI PUTUS TERSEPIT PADA ESKALATOR

SAKIT...  Mohd Faizal sedang menerima rawatan.
SAKIT... Mohd Faizal sedang menerima rawatan.

MUAR: “Saya terus mengambil dua jari anak yang putus sebelum membawanya ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF),” kata Ahmad Imran, 37, di Ledang dekat sini, semalam.

Ahmad ditemui di pekarangan HPSF ketika menghantar anak lelakinya berusia dua tahun, Mohd Faizal, untuk menerima rawatan kecemasan selepas dua jari kanak-kanak itu putus kerana tersepit pada eskalator sebuah pasar raya di bandar berkenaan, jam 6 petang kelmarin.


“Bagaimanapun, luluh hati saya kerana proses penyambungan dua jari yang putus itu di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) di Cheras, Selangor, menemui kegagalan,” katanya.

Mengimbau kejadian, Ahmad berkata, Faizal dibawa sepupunya ke pasar raya untuk membeli makanan ringan.


Menurut Ahmad, ketika menggunakan eskalator itu, ia terhenti secara tiba-tiba, mengakibatkan Faizal terjatuh bersama sepupunya.


“Cubaan mengangkat Faizal gagal kerana dua jari, masing-masing satu di tangan kanan serta kiri, tersepit, namun terpaksa direntap, menyebabkannya putus.

“Saya mendapat panggilan telefon memaklumkan kejadian itu sebelum bergegas ke pasar raya yang terletak satu kilometer dari rumah di Jalan Haji Yunus,” katanya.


Bagaimanapun, sebaik tiba lima minit kemudian, Ahmad hanya mampu melihat anak lelakinya meraung kesakitan.

Menurut Ahmad, eskalator terbabit kerap rosak dan sering berhenti secara tiba-tiba sejak beberapa minggu lalu.


Selain putus dua jari, mangsa luka di kedua-dua belah tangan, menyebabkan dia menerima beberapa jahitan.


Ahmad kemudian membuat laporan polis berkaitan kejadian di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar.


sumber:metro

tarian seksi di kota bharu

KOTA BHARU: Gempar apabila sebuah kelab persendirian di sini menyajikan tarian wanita menjolok mata dalam satu majlis di kelab berkenaan, malam kelmarin.

Bagaimanapun, penganjuran majlis itu mengundang padah apabila diserbu anggota penguat kuasa Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB).


Majlis sekitar jam 9.30 hingga 10.30 malam itu dihadiri 350 orang, kebanyakannya wanita, termasuk yang bertudung.

Dalam serbuan itu, penguat kuasa MPKB turut merampas beberapa botol arak.


Difahamkan, pengurusan kelab menghentikan majlis itu selepas menyedari kehadiran penguat kuasa MPKB.


Yang Dipertua MPKB, Nazran Muhammad ketika dihubungi mengesahkan serbuan dan kewujudan tarian seksi wanita itu.

Bagaimanapun, Nazran enggan mengulas lanjut kerana siasatan masih dijalankan.

KL gengster tewaskan filem hollywood

“ALHAMDULILLAH, alhamdulillah, saya sendiri terkejut, kata orang terkejut monyet!” begitulah ayat pertama Datuk Yusof yang baru selesai solat Jumaat.

Hanya ucapan tahniah yang mampu saya berikan kepada beliau, anaknya, Syamsul dan seluruh warga kerja Skop Productions atas kejayaan terbaru mereka melalui filem KL Gangster.

Mana tidaknya, melalui satu hari tayangan pembukaan Khamis lalu, KL Gangster sudah mengaut kutipan kasar RM1.5 juta atau lebih tepat lagi, kutipan bersih RM1.2, tidak termasuk tayangan awal pada malam sebelumnya iaitu sebanyak RM300,000.

Jadi campur tolak campur tolak, kira-kira RM1.8 juta kutipan kasar diraih melalui Rabu dan Khamis saja di panggung.


Ternyata KL Gangster mencipta satu lagi rekod dalam sinema Malaysia kerana ia rekod tertinggi menewaskan tayangan pembukaan filem tempatan lain seperti Kongsi, Ngangkung, Hikayat Merong Mahawangsa mahupun Khurafat daripada Skop Productions sendiri.

Ternyata cakap rakan-rakan media yang menga­takan filem ini sangat menarik dan karya terbaik daripada Syamsul setakat ini bukanlah sembang kosong. Ramai sekali peminat berpusu-pusu ke panggung untuk membeli tiket KL Gangster dan keluar daripada baris dengan wajah hampa kerana tiket habis.

Kata Yusof kepada saya, filem itu ditayangkan di 81 pawagam wajib tayang dan 10 panggung bebas. Taya­ngan KL Gangster juga dibuat serentak di Singapura dan Brunei Darussalam.

“Saya terharu kerana KL Gangster mampu bersaing dengan filem Hollywood yang besar ketika ini seperti X-Men dan Pirates of the Caribbean. Nyata sokongan masyarakat terhadap filem kita semakin hebat. Nampaknya ramai suka cerita drama dan aksi selain seram dan komedi. Saya ucapkan jutaan terima kasih kepada yang sudah menonton KL Gangster,” kata Yusof lagi.

Dalam kerancakan ‘reel’ KL Gangster berputar di pawagam, tercetus pula
kontroversi mengatakan ada pihak yang tidak berpuas hati dengan jalan cerita filem itu yang dikatakan menyentuh hal-hal tertentu.

Bantahan tiba-tiba datang daripada Pertubuhan Kebajikan Dan Dakwah Islamiah (Pekida) kerana KL Gangster dan sebuah lagi filem aksi yang masih ditayangkan, Kongsi, dikatakan ada memaparkan dialog tertentu berkaitan Pekida. Sejauh mana benarnya, wallahualam kerana saya sendiri tidak arif untuk menceritakan dengan terperinci.

Namun apa yang boleh saya cakap di sini, kalau pun ada sebarang isu sensitif, janganlah kita lekas melatah dan bawalah masalah mahupun keraguan itu ke meja rundingan. Insya-Allah semuanya boleh dirungkai dengan baik.

Kita kenalah faham ini soal filem kita dan membabitkan titik peluh serta pelaburan anak bangsa. Seharusnyalah kita terus memberikan soko­ngan kepada filem Malaysia dan bertindak seperti menarik rambut di dalam tepung. Dua-dua akan OK.

Bagi saya, KL Gangster adalah sebuah filem cereka dan bukan dokumentari. Ia dihasilkan untuk tujuan berhibur dan dalam berhibur itu, seperti biasa Yusof dan Syamsul tetap menyelitkan mesej positif dan sedikit humor kepada penonton mereka.

Saya faham Yusof sebagai­ orang lama yang sudah bertahun-tahun membuat karya bercorak aksi kepolisan bagi membantu imej pihak berkuasa, sudah masak dengan cara mencorakkan karya hiburan yang komersial dan pada masa yang sama, bermesej.

Saya bangga kerana formula kejayaan filem Sembilu dulu kini mampu diubahsuai me­ngikut peredaran zaman oleh Syamsul, sehing­ga setiap filem arahan Syamsul membuahkan hasil lumayan. Ini baru namanya ‘anak bapak’. Yusof juga semakin yakin melepaskan hala tuju Skop Productions ke tangan anaknya itu bagi membina Empayar Skop. Jumpa lagi minggu depan.


sumber:metro ahad