Rabu, 8 Jun 2011

Gambit mohon maaf

KUALA LUMPUR: “Sekiranya saya melakukan kesalahan, saya mohon maaf,” kata pelakon dan pengarah klip video Marilah Menari, Gambit Saifullah, 26, yang menimbulkan kontroversi kerana aksi mengghairahkan dalam klip terbabit.

Dia juga menjelaskan tidak berniat untuk memaki hamun peminat, blogger atau sesiapa pun dalam laman sosialnya mengenai isu berkenaan.


“Semua yang berlaku itu adalah salah faham kerana ‘bukan peminat’ yang menghuru-harakan keadaan dengan menyampaikan fitnah kepada blogger kononnya saya yang memaki hamun mereka,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Menurutnya, dia hanya membalas kritikan bukan peminat yang tidak habis-habis mengkritik dirinya hingga membuatkanya rimas. Dia berkata, kini lebih 5,000 komen diterima daripada pengguna facebook yang melahirkan rasa tidak berpuas hati kepadanya termasuk daripada bukan peminat yang menghentamnya di paparan peminat laman sosial terbabit.


“Saya kesal menerima maki- hamun yang turut membabitkan ibu bapa dan percaya semua yang berlaku itu bertujuan menjatuhkan reputasi,” katanya.


Katanya, pada masa hadapan dia akan lebih berhati-hati dalam menghasilkan klip video terbaru dan mengakui kontroversi itu banyak memberi pengajaran kepadanya.

“Mengenai Prema Yen (penyanyi), dia kini berada di Los Angeles, Amerika Syarikat kerana ada urusan di sana..pada masa terdekat Prema akan mengadakan sidang media memberikan penjelasan mengenai klip video itu sejurus pulang ke tanah air,” katanya.


Harian Metro sebelum ini melaporkan Gambit mencetuskan kontroversi apabila klip video Marilah Menari yang dihasilnya dikatakan mengandungi unsur seks dan mendapat kritikan hebat daripada masyarakat di negara ini.

Gambit yang diminta penjelasan mengenainya memberikan alasan klip video itu dihasilkan untuk pasaran Amerika Syarikat bukan untuk pasaran tempatan selain mempertahankan klip video terbabit.


Klip berkenaan memaparkan aksi panas antara pelakon Shah Jaszle dengan penyanyi Marilah Menari, Prema Yen.


Bagaimanapun, Shah Jaszle dalam kenyataannya kepada Harian Metro kelmarin menjelaskan dia hanya menjalankan tanggungjawab sebagai pelakon dan tidak menyangka klip video berkenaan menjadi kontroversi.



Tiada ulasan: