Rabu, 8 Jun 2011

Gambit mohon maaf

KUALA LUMPUR: “Sekiranya saya melakukan kesalahan, saya mohon maaf,” kata pelakon dan pengarah klip video Marilah Menari, Gambit Saifullah, 26, yang menimbulkan kontroversi kerana aksi mengghairahkan dalam klip terbabit.

Dia juga menjelaskan tidak berniat untuk memaki hamun peminat, blogger atau sesiapa pun dalam laman sosialnya mengenai isu berkenaan.


“Semua yang berlaku itu adalah salah faham kerana ‘bukan peminat’ yang menghuru-harakan keadaan dengan menyampaikan fitnah kepada blogger kononnya saya yang memaki hamun mereka,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Menurutnya, dia hanya membalas kritikan bukan peminat yang tidak habis-habis mengkritik dirinya hingga membuatkanya rimas. Dia berkata, kini lebih 5,000 komen diterima daripada pengguna facebook yang melahirkan rasa tidak berpuas hati kepadanya termasuk daripada bukan peminat yang menghentamnya di paparan peminat laman sosial terbabit.


“Saya kesal menerima maki- hamun yang turut membabitkan ibu bapa dan percaya semua yang berlaku itu bertujuan menjatuhkan reputasi,” katanya.


Katanya, pada masa hadapan dia akan lebih berhati-hati dalam menghasilkan klip video terbaru dan mengakui kontroversi itu banyak memberi pengajaran kepadanya.

“Mengenai Prema Yen (penyanyi), dia kini berada di Los Angeles, Amerika Syarikat kerana ada urusan di sana..pada masa terdekat Prema akan mengadakan sidang media memberikan penjelasan mengenai klip video itu sejurus pulang ke tanah air,” katanya.


Harian Metro sebelum ini melaporkan Gambit mencetuskan kontroversi apabila klip video Marilah Menari yang dihasilnya dikatakan mengandungi unsur seks dan mendapat kritikan hebat daripada masyarakat di negara ini.

Gambit yang diminta penjelasan mengenainya memberikan alasan klip video itu dihasilkan untuk pasaran Amerika Syarikat bukan untuk pasaran tempatan selain mempertahankan klip video terbabit.


Klip berkenaan memaparkan aksi panas antara pelakon Shah Jaszle dengan penyanyi Marilah Menari, Prema Yen.


Bagaimanapun, Shah Jaszle dalam kenyataannya kepada Harian Metro kelmarin menjelaskan dia hanya menjalankan tanggungjawab sebagai pelakon dan tidak menyangka klip video berkenaan menjadi kontroversi.



Dibogel, disamun rakan

AMPANG: Malang bertimpa bagi seorang lelaki apabila dia bukan saja kerugian kira-kira RM5,000 selepas disamun rakan baiknya, malah suspek turut mengugut akan menyebarkan gambar bogel mangsa kepada umum sekiranya membuat laporan polis dalam kejadian di Taman Datuk Ahmad Razali, di sini, kelmarin.

Kejadian kira-kira jam 8 malam itu menyebabkan mangsa berusia 34 tahun cedera di muka dan hidung selepas ditumbuk dua rakannya kerana tidak mengikut arahan.


Sumber polis berkata, dua rakannya itu yang berusia 30-an datang ke rumah mangsa dan meminta tolong menghantar mereka pulang ke rumah di taman berdekatan.

Katanya, mangsa yang mahu mandi menyuruh mereka menunggu di ruang tamu, tetapi sebaik mahu melangkah, dua lelaki itu menarik tangannya menyebabkan dia meronta-ronta.


Menurutnya, kedua-dua suspek kemudian menggeledah rumah dan mengambil beberapa barangan berharga termasuk komputer riba, dua telefon bimbit, jam tangan dan kad bank milik mangsa.


Mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Ampang Jaya sejurus kejadian.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Amiruddin Jamalluddin mengesahkan laporan itu.


PERLAWANAN PERSAHABATAN KEMBOJA MENENTANG MALAYSIA

APA sudah jadi dengan skuad Olimpik negara apabila mereka dikejutkan dengan kekalahan kepada skuad kebangsaan Kemboja, 1-0 pada aksi persahabatan, semalam sekali gus memberi tamparan hebat buat jurulatih Ong Kim Swee menjelang misi utama perlawanan pusingan kedua kelayakan Sukan Olimpik menentang Lubnan 19 Jun ini.

Menurut Kim Swee, sikap ambil mudah anak buahnya ternyata membawa padah apabila mereka gagal bangkit sekurang-kurangnya mencatat keputusan seri selepas ketinggalan satu gol pada awal babak pertama menerusi jaringan Kouch Sokumpheak.


“Saya hanya boleh menilai prestasi pemain dalam tempoh 60 minit sebelum hujan lebat, saya sudah menjangkakan perlawanan dengan skuad kebangsaan Kemboja ini bukan mudah.

“Pemain harus ingat, selepas kita menjuarai Piala AFF dan Sukan Sea, jangan ingat pasukan lain tidak membuat persiapan. Kekalahan ini pengajaran berguna buat pemain supaya tidak mengambil mudah kerana gol yang kita lepaskan adalah atas sebab kesilapan sendiri,” katanya selepas perlawanan.


Sebaik permainan bermula, pasukan tuan rumah kendalian Lee Tae-Hoon dari Korea beraksi lebih kemas dengan permainan pantas sehingga menyukarkan pemain negara khususnya di bahagian tengah yang diterajui Gary Steven Robbart berfungsi dengan baik.


Selepas 10 minit beraksi, Kemboja yang bermain di laman sendiri berjaya membuka tirai jaringan apabila penyerang lincah, Sokumpheak berjaya memperdayakan dua pemain pertahanan, Mahali Jasuli dan Mohamad Muslim Ahmad sebelum melepaskan rembatan kaki kanan menewaskan penjaga gawang, Khairul Fahmi Che Mat.

Satu-satunya percubaan terbaik diperoleh skuad negara yang hampir kesemuanya pemain Harimau Muda A kecuali pemain pertahanan dari Terengganu, Mohd Zubir Azmi adalah menerusi percubaan Mohd Fandi Othman namun sepakannya mudah dibaca penjaga gol lawan.


Aksi keras ditunjukkan Malaysia menyebabkan tiga pemain Izzaq Faris Ramlan, Gari dan Mahali di layangkan kad kuning pada babak pertama.

Permainan anak buah Kim Swee tidak banyak berbeza pada babak kedua sehingga memaksa jurulatih negara itu membuat beberapa pertukaran termasuk membawa masuk Mohd Affize Faisal Mamat, Mohd Ferris Daniel Mat Nasir dan Mohamad Faizal Abu Bakar menggantikan Mahali, Gary Steven dan Wan Zack Haikal Wan Nor.


Strategi itu tampak memberi kesan apabila skuad Olimpik mula melancarkan asakan bermula dengan rembatan jarak jauh Mohamad Faizal yang sedikit tersasar pada minit ke-67.


Namun kebangkitan pemain negara selepas itu terjejas akibat hujan lebat yang menyaksikan hantaran-hantaran mereka tersekat di atas padang yang digenangi air.


Skuad negara akan kembali ke tanah air hari ini untuk meneruskan sesi latihan pusat dan bertolak ke Doha bagi aksi perlawanan persahabatan dengan skuad Olimpik Qatar pada 13 Jun sebelum bertemu Lubnan di Beirut pada 19 Jun.


Aksi kedua perlawanan kelayakan Olimpik itu akan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 23 Jun.